Saturday, January 15, 2011

Takaful IKHLAS Catat Pertumbuhan Perolehan Kasar RM615 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) mencatatkan pertumbuhan perolehan kasar RM615 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2010, berbanding RM581 juta bagi tahun sebelumnya.

Di dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata sektor Takaful Am memberikan sumbangan RM217 juta bagi tahun kewangan 2009/2010 berbanding RM140 juta pada tahun sebelumnya.

Katanya sektor perniagaan korporat pula mencatatkan pertumbuhan perniagaan sebanyak 40 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Keseluruhannya, pencapaian individu Takaful Keluarga amatlah membanggakan dengan kutipan sumbangan RM172.2 juta berbanding RM134.3 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Baru-baru ini, Takaful Ikhlas turut meraikan pencapaian cemerlang ejen-ejennya pada Majlis Anugerah Ejen Takaful Ikhlas ke-enam di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya.

Takaful Ikhlas, yang mula beroperasi pada Julai 2003, merupakan anak syarikat MNRB Holdings Bhd, iaitu sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia di mana pemegang saham utamanya adalah Permodalan Nasional Bhd melalui Skim Amanah Saham Bumiputera.

Takaful Ikhlas yang mempunyai pusat perkhidmatan pelanggannya di pejabat korporatnya di Bangsar South, Kuala Lumpur serta pejabat wilayah di Klang, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah, Sarawak, Melaka, Sabah, Pahang, Ipoh, Kuala Terengganu dan Putrajaya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment