Saturday, January 15, 2011

Perolehan MNRB Naik 14.6 Peratus Kepada RM1.345 Bilion

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Perolehan MNRB Holdings Bhd naik 14.6 peratus kepada RM1.345 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2010 daripada RM1.174 bilion tahun lepas.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Norazman Hashim berkata perolehan yang lebih tinggi itu berikutan kenaikan dalam premium bertulis insurans semula kasar oleh anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Reinsurance Bhd (Malaysian RE), serta peningkatan dalam fi wakalah yang diperoleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd dan MNRB Retakaful Bhd (MRT).

"Malaysian Re and Takaful masing-masing menyumbang 85 peratus (RM1.143 bilion) dan 14 peratus (RM190.2 juta) kepada perolehan kumpulan, diikuti dengan satu peratus oleh MRT," katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan kewangan belum diaudit kumpulan di sini hari Isnin.

Malaysian Re dan MRT mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi masing-masing sebanyak RM88.596 juta dan RM4.508 juta bagi tahun berkenaan manakala Takaful mencatatkan untuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM6.789 juta.

Norazman berkata premium bertulis insurans kasar oleh Malaysian RE bagi tahun berkenaan berjumlah RM1.091 bilion, kenaikan sebanyak 16 peratus berikutan premium kasar yang lebih tinggi daripada perniagaan triti seberang laut serta peningkatan dalam premium kasar daripada perniagaan kebakaran dan motor tempatan.

"Takaful mencatatkan peningkatan dalam fi wakalah kepada RM181.6 juta daripada RM157.3 juta yang dicatatkan tahun kewangan yang berakhir pada 2009," jelas beliau.

Keuntungan bersih kumpulan naik 73 peratus kepada RM45.5 juta daripada RM26.3 juta sebelumnya disebabkan oleh kesan dalam rizab premium yang tidak diperoleh Malaysian Re hasil daripada perubahan dalam anggaran semasa tahun berkenaan.

"Peningkatan keuntungan bersih juga disumbangkan oleh keuntungan bahagian yang lebih tinggi dalam sekutu insurans semula, pendapatan pelaburan yang bertambah dan fi wakalah yang lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, kenaikan dalam keuntungan bersih diimbangi sebahagiannya oleh peruntukan untuk kerugian pengurangan sebanyak RM44.5 juta yang terhadappelaburan MNRB dalam Principle Insurance Holdings Ltd (PIHL).

Pada 28 April, PIHL mengumumkan penjualan bersyarat anak syarikatnya, Principle Insurance Company Ltd dan Principle Marketing Services Ltd kepada Al Salam Group Holding Company K.S.C.C, anggota syarikat yang berpangkalan di Kuwait, Al Madina Group, pada jumlah yang tidak dinyatakan.

Memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi PIHL, kumpulan membuat peruntukan penuh berjumlah RM44.5 juta dalam tempoh semasa untuk pengurangan pelaburannya dalam PIHL.

"PIHL bersetuju untuk menerima tawaran ini daripada syarikat yang berpangkalan di Kuwait ini. Hasrat mereka ialah untuk memulakan semula dagangan dan mereka telah memberi bayangan yang suntikan sebanyak 25 juta pound untuk permodalan semula.

"MRNB berharap untuk menyaksikan permulaan semula perniagaan menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini," katanya.

Mengenai pengembangan, beliau berkata MNRB mempunyai rancangan untuk memperluaskan perniagaan taja jamin di luar negara selain memberi tumpuan kepada kategori perniagaan keluarga MRT.

"Kami meninjau untuk pengembangan di pelbagai negara untuk MRT. MRT mempunyai kategori, perniagaan am dan keluarga."

Beliau berkata perniagaan am kini memberi sumbangan yang besar kepada syarikat dan tumpuan masa depan adalah kepada pengembangan perniagaan keluarga.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment